Fatimah Ipong, 39, leka melipat baju di dalam bilik. Sesekali dia
menjenguk kepala melihat anak bongsunya, Hafiz Osman, 6, yang sedang
menonton televisyen di ruang tamu.
Entah kenapa dalam kedamaian perkampungan air Kampung Simunul, Semporna,
Sabah bersaksikan lautan biru tidak mendamaikan hatinya malam itu.
Sejak tengah hari tanggal 2 Mac, kelibat sekumpulan anggota Polis Diraja
Malaysia (PDRM) yang berlegar-legar di kawasan kampung meresahkan
hatinya.
"Adakah rondaan pasukan polis ada kaitan dengan serangan pengganas Kiram
di Lahad Datu semalam," wanita berketurunan Bajau itu bermonolog
sendiri.
Tatkala fikirannya semakin hanyut memikirkan situasi itu, Fatimah
kemudian dikejutkan dengan bunyi tembakan yang berlarutan di luar
rumahnya.
Perasaan takut menyelubungi Fatimah. lantas naluri seorang ibu
menyebabkan dia segera mendapatkan Hafiz yang sudah mula menangis
ketakutan.
Dua beranak itu pantas bersembunyi di dalam bilik. Jantung Fatimah mula
berdegup kencang, manakala seluruh tubuhnya mula menggigil ketakutan.
Dia sempat mengerling jam di dinding bilik yang menunjukkan pukul 7.20
malam.
Dalam ketakutan itu, tiba-tiba pintu rumahnya ditolak kuat. Fatimah
semakin cemas bimbang pengganas memecah masuk rumahnya. Namun dia segera
menarik nafas lega tatkala mendengar suara yang amat dikenalinya.
"Kumpul semua barang penting," jerit suami Fatimah, Osman. "Bila
tembakan sudah reda, kita kena keluar dari sini, Simunul sudah tidak
selamat," sambung suaminya yang sebelum itu keluar ke surau dengan dua
anak lelaki mereka yang lain.
Selepas hampir tiga jam bersembunyi di dalam bilik, akhirnya lima
beranak itu memberanikan diri keluar dari rumah sekitar pukul 11 malam
walaupun rumah mereka dengan lokasi pertempuran dipisahkan kira-kira 20
buah rumah.
Perlahan-lahan mereka menyelinap dalam kepekatan malam untuk mencari
tempat yang lebih selamat iaitu ke rumah salah seorang saudara di darat.
Ketakutan dan kebimbangan Fatimah adalah perasaan yang turut dikongsi oleh saya tidak lama kemudian.
Sehari selepas kampung Fatimah diserang pengganas Kiram dalam kekejaman
yang maha dahsyat, saya menerima arahan untuk segera terbang ke Semporna
bersama jurufoto, Riduan Rizal Ahmad.
Apa tidaknya ketika itu situasi di Simunul sangat tegang dan mencemaskan
berikutan enam anggota polis dibunuh dalam serangan malam 2 Mac lalu.
Namun, dalam ketakutan dan kegelisahan dengan keselamatan diri, saya
menguatkan diri untuk menyahut cabaran pertama melaporkan berita di zon
serangan pengganas.
Sebaik tiba di Semporna, saya melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis
Daerah itu dan sebelum keesokkannya misi memasuki kampung Simunul
dimulakan.
Tanpa berbekalkan baju kalis peluru, saya dan jurugambar mengambil
keputusan memasuki kampung tersebut tepat pukul 1 tengah hari.
Sebaik menjejak kaki di kawasan lapang yang merupakan gelanggang bola
keranjang, mata dijamu dengan suasana kecoh penduduk yang sibuk
mengangkut barang keperluan rumah masing-masing.
"Kami mahu pindah, kalau tidak pindah… nanti mundu (pengganas/lanun
dalam bahasa Sabah) datang dan bakar kampung kami," kata seorang
penduduk Nazmah Datugis, 40.
Ketakutan jelas terpancar di wajah penduduk yang berpindah ke rumah sanak saudara termasuk Nazmah.
Ada di antara penduduk yang ditemui memaklumkan akan menetap di rumah
saudara di Tawau yang jarak perjalanan yang memakan masa satu jam 30
minit.
Dalam keadaan saya dan jurufoto 'menempel' watak sebagai tukang sibuk
ketika penduduk berpindah, kelihatan beberapa penduduk yang merupakan
ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) sedang sibuk
menguruskan mayat pengganas Kiram yang berjaya ditembak pasukan
keselamatan.
Saya kemudian melihat jurugambar dengan penuh makna sambil dalam hati
menyatakan: "Kita perlu masuk ke dalam kampung walau apa jua pun untuk
mendapat gambar pengganas Kiram tersebut."
Saya bersama jurugambar meniti titian dari Lorong 5 dengan penuh
kegusaran. Penduduk kampung yang berada di kiri kanan titian itu melihat
kami 'dari atas hingga bawah' dengan penuh tanda tanya.
Sebaik mencecah jarak 20 meter ke dalam, saya mula merasakan suasana di
kampung tersebut bukan seperti berada di Malaysia. Perasaan takut,
cemas, 'cuak', gementar semuanya ada pada ketika itu. Hendak diikuti
hati mahu saja pulang semula dan duduk sahaja di bilik hotel. Namun,
tugas yang diamanahkan terpaksa dipikul dan dengan memujuk hati sendiri
bahawa ini merupakan pengalaman yang tidak akan aku lupakan
Lebih menarik perhatian saya apabila terlihat beberapa tubuh milik
pengganas Kiram yang berada di atas titian yang baru sahaja di bungkus
dengan plastik hitam oleh ahli JKKK kampung tersebut. Bau busuk usah
dikata. Sangat meloyakan.
Dalam sibuk meniti titan tersebut, mata saya tertumpu ke arah beranda
sebuah rumah. Pilu hati apabila kelihatan organ dalaman yang dipercayai
milik salah seorang anggota keselamatan yang maut dalam pertempuran pada
2 Mac lalu.
Ketika berjalan menuju ke kawasan 'pertempuran' yang kira-kira 100 meter
dari hadapan Lorong 5, kampung tersebut, saya turut melihat kesan darah
di atas titian usang itu.
Rumah
di kawasan itu juga rapat-rapat menyebabkan saya berfikir sejenak
bagaimana keadaan pasukan keselamatan pada malam itu yang cuba
mempertahankan negara bermati-matian menumpaskan musuh.





No comments:
Post a Comment