
Pagi Isnin, 8 April lepas, penulis serta kira-kira 10 wakil media
menjadi krew pertama memasuki kawasan panas itu, yang menyaksikan dua
anggota komando VAT 69 Polis Diraja Malaysia terkorban diserang militan
dari Selatan Filipina.
Melangkah masuk ke Kampung Tanduo, zon merah yang menjadi saksi
pendaratan penceroboh militan Sulu dengan pasukan keselamatan, hati
penulis menjadi agak panik.
Dua yang terbunuh dalam pertempuran pada 1 Mac lepas ialah ASP Zulkifli
Mamat dari Besut, Terengganu dan Sarjan Sabaruddin Daud dari Sabak
Bernam, Selangor.
Walaupun menghadapi kesukaran pada mulanya untuk memasuki kawasan itu
ekoran kawalan ketat oleh pasukan tentera yang menjaga sepanjang laluan
ke Kampung Tanduo, kami akhirnya dibenar masuk ke kampung itu selepas
menghubungi Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.
Memasuki kampung itu, perasaan penulis bercampur gembira, teruja dan
gementar kerana membayangkan kalaulah sekiranya ada saki baki pengganas
yang mengintai kami dari jauh, tembakan pastinya akan singgah.
Syukur, dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh anggota polis yang
mengiringi kami dan pasukan tentera yang tinggal di beberapa kem di
kampung itu, hati menjadi lega.
Jaket kalis peluru dan topi keselamatan yang dibekal pejabat menjadi
'pendinding' diri ketika itu, selain doa yang tidak putus-putus meminta
dipermudahkan segalanya.
GALI MAYAT
Kedatangan kami ke Kampung Tanduo memberi pengalaman berganda, kerana
bukan sahaja berpeluang melawat buat kali pertama ke lokasi pertempuran
yang menjadi sejarah hitam negara.
Malah, secara kebetulan pada ketika itu, pasukan forensik sedang bersiap
sedia untuk menggali mayat pengganas yang dikesan ditanam 'rakan
seperjuangan' mereka.
Pada hari itu, kira-kira pukul 1.00 petang, seorang lelaki diupah untuk
menggali tiga lubang, yang dikesan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan
berdekatan kem tentera di situ.
Lima belas mayat yang dipercayai terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan 1 Mac lepas, berjaya dibawa keluar.
Penulis yang pada mulanya teruja untuk melihat lebih dekat proses
penggalian itu, akhirnya tewas dan beredar dari kawasan itu kerana bau
yang amat busuk menusuk hidung selain fizikal mayat yang dikeluarkan
satu persatu itu amat mengerikan.
Kesemuanya yang masih berpakaian lengkap termasuk seorang pengganas
wanita, mereput, dan ada antaranya yang sudah kehilangan anggota badan
yang lain.
Hujan lebat sekejap-sekejap dan berhenti, seakan 'tidak merelakan'
proses penggalian itu berlangsung, sehingga mengakibatkan pihak polis
terpaksa mengambil masa yang lama untuk menamatkan proses membawa keluar
mayat itu, yang akhirnya berakhir pukul 5 petang.
Kesemua mayat kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat.
LAWATAN RUMAH ANAK MAT BOM, KUBU PENGGANAS
Seakan bernasib baik, pada keesokan harinya, penulis masih lagi
berpeluang memasuki perkampungan itu. Kali ini dengan 'tiket' lawatan
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang yang mahu meninjau
beberapa lokasi insiden pencerobohan tersebut.
Rombongan yang menaiki 12 kenderaan diiringi dan dikawal ketat oleh
tentera dan polis memperlihatkan hampir semua rumah mempunyai kesan
tembakan akibat pertempuran dan ada yang hanya tinggal tiang, atap atau
serba tidak lengkap, satu gambaran yang sebelum ini hanya dilihat dalam
peperangan di luar negara menerusi televisyen.
Kemusnahan itu adalah ekoran kedegilan kumpulan itu berundur dari
Kampung Tanduo setelah diberi peluang sehingga memaksa kerajaan
melancarkan gerakan ofensif ke kubu penceroboh itu dengan menggunakan
tiga jet penyerang F/A 18D Hornet.
Gerakan ofensif Operasi Daulat itu diteruskan dengan lima pesawat Hawk
melancarkan operasi pengeboman, diikuti ledakan bertalu-talu mortar 91mm
pasukan tentera darat sebelum penggeledahan dilakukan untuk memburu
saki-baki pengganas.
Tinjauan seterusnya ke rumah anak Mat Bom, individu yang menjadi tali barut kepada pengganas tersebut.
Tinjauan mendapati rumah tersebut musnah dibakar dan jentera pengorek
tanah, yang dipercayai digunakan untuk mengorek kubu dan menggali lubang
kubur, berada di hadapan rumah tersebut.
Pengorek tanah itu juga musnah terbakar.
Difahamkan, selepas Mat Bom berjaya ditahan pasukan keselamatan, isteri dan anak-anaknya terpaksa tinggal di pusat sementara.
Tan, yang diberi taklimat khas oleh Pegawai Turus Gerakan (PTG) Pasukan
Gerakan Am (PGA) Sabah DSP Toipi Lamat, kemudian berjalan menuju ke
kawasan sekitar rumah tersebut yang menyaksikan beberapa lubang yang
digali pengganas untuk dijadikan kubu pertempuran mereka menentang
pasukan keselamatan.
PANTAI TANDUO SAKSI PENDARATAN PENGGANAS
Lokasi terakhir yang kami lawati ialah pantai Tanduo yang menjadi tempat pendaratan pertama sekumpulan pengganas berkenaan.
Di pantai ini, bangkai bot yang terbakar, yang digunakan pengganas untuk
belayar ke kampung ini masih tersadai di persisiran pantai, selain
masjid lama yang digunakan mereka sebagai markas.
Kelihatan kumpulan tentera yang ramai menjaga pos kawalan sementara yang
dibina bagi menghalang sebarang cubaan kemasukan pengganas.
Tan berkata walaupun kawasan itu sudah boleh dikatakan bebas daripada
anasir-anasir pengganas, pihak keselamatan sentiasa memantau kawasan
tersebut dan setakat ini belum ada perancangan untuk menamatkan operasi
kawalan di kawasan itu.
KAMPUNG TANDUO DITUTUP, HANYA TINGGAL NAMA
Pada permulaan semasa insiden pencerobohan berlaku, kampung yang menjadi
lokasi pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu ini ditutup oleh
pihak keselamatan dan tidak lagi menjadi kawasan penempatan penduduk.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pula berkata
pihak tentera belum berhasrat mahu meninggalkan kampung itu dan memberi
gambaran bahawa tentera akan terus menjaga keselamatan kampung berkenaan
walaupun sudah tidak ada ancaman.
"Yang pastinya bukan kem tetap yang akan didirikan di kampung ini,
tetapi ia (kem) akan diwujudkan di kawasan Felda Sahabat di sini dengan
kerjasama Felda," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment