SHAH ALAM - Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata,
polis akan memanggil penganjur perhimpunan membantah keputusan Pilihan
Raya Umum ke-13 di Stadium Kelana Jaya, dekat sini malam tadi bagi
membantu siasatan.
Beliau berkata, selain itu polis juga akan mendapatkan keterangan
daripada para pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap pada perhimpunan itu.
Katanya, 28 daripada 33 pemimpin pakatan yang berucap pada perhimpunan
itu didapati memberi ucapan berbau hasutan, yang menyalahi Seksyen 4(1)
Akta Hasutan 1948.
Beliau berkata, penganjur perhimpunan itu gagal mematuhi Seksyen 9 (5)
Akta Perhimpunan Aman iaitu memberi notis kepada pihak polis mengenai
penganjuran perhimpunan itu, 10 hari sebelum acara itu diadakan.
"12.20 tengah hari semalam kita terima notis, kita minta tunda supaya
berlaku adil kepada penduduk sekitar," katanya pada sidang akhbar di
sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak penganjur tetap meneruskan perhimpunan itu
dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kegusaran masyarakat
sekeliling serta pengguna lebuh raya kerana sikap tidak bertanggungjawab
peserta perhimpunan yang meletakkan kenderaan sesuka hati dan
berlapis-lapis sehingga mengganggu aliran lalu lintas.
Tun Hisan berkata, stadium Kelana Jaya itu hanya mampu menampung 25,000
orang dan mempunyai kira-kira 700 lot parkir dan menurutnya jika pihak
penganjur mengikut peraturan, pihak polis boleh mencadangkan tempat yang
lebih sesuai bagi penganjuran perhimpunan itu.
"Cuba bayangkan apa yang akan berlaku jika berlaku kecemasan dalam
keadaan lalu lintas yang sesak. Ini menunjukkan mereka ini hanya
mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan kesan perbuatan mereka ke
atas masyarakat setempat," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment